Assalamualaikum

Dulu kini dan selamanya

Wednesday, June 6, 2018

BUBUR NASI

Usah sangsi
kita isi
bimbang kabur
tambat takbur

Usah benci
atau caci
bimbang ribut
kelam kabut

Bubur nasi
sudah basi
apa pasal
mahu sesal

YAHTI HAYATI
#SADUKA_YAHTIHAYATI
5.6.2018

Monday, January 22, 2018

PERKONGSIAN

Dusun serelung itu
kukuh dawai berduri
semalu segan tumbuh
bunga kemuncup
dicantas ketika menguntum segar
di sebalik dedaun liuknya menghijau kemilau.

Cempedak berkelonsong
rambutan julai ke tanah
dokong separas bahu
nangka berbalut rapi
raja buah menjuntai di kepala
adakalanya ranum serentak.

Mereka itu
mengaut laba
dari titisan keringat empunya hak
hatinya tak kenal belas
tamak beraja di hati.

Dusun itu milikmu
harganya lima bulan gaji
tanpa sedar
dusun itu dikongsi menginjak keringat mutlak
tanpa ada silu
apalagi malu.

YAHTI HAYATI
Simpang Pulai
22.1.2018

Friday, November 24, 2017

PANTUN BERKAIT

Rakan mencabar bermain pedang;
pedang tembaga dari kota;
banyakkan sabar jangan meradang,
demi menjaga ukhuwah kita.

Pedang tembaga dari kota
telah dibaling keris diganti;
demi menjaga ukhuwah kita,
usahlah saling menguris hati.

Telah dibaling keris diganti,
sebilah keris sarungnya merah;
usahlah saling menguris hati,
tidakkan habis segala marah.

Sebilah keris sarungnya merah.
tajamnya nyeri bersinar terang;
tidakkan habis segala marah,
akhirnya diri dihindar orang.

Tajamnya nyeri bersinar terang,
bersinggung bahu tidak terkata;
akhirnya diri dihindar orang,
barulah tahu kaca permata.
****

Rakan mencabar bermain pedang;
pedang tembaga dari kota;
banyakkan sabar jangan meradang,
demi menjaga ukhuwah kita.

Pedang tembaga dari kota
telah dibaling keris diganti;
demi menjaga ukhuwah kita,
usahlah saling menguris hati.

Telah dibaling keris diganti,
sebilah keris sarungnya merah;
usahlah saling menguris hati,
tidakkan habis segala marah.

Sebilah keris sarungnya merah.
tajamnya nyeri bersinar terang;
tidakkan habis segala marah,
akhirnya diri dihindar orang.

Tajamnya nyeri bersinar terang,
bersinggung bahu tidak terkata;
akhirnya diri dihindar orang,
barulah tahu kaca permata.

Bersinggung bahu tidak terkata,
pergi kenduri jadi tarikan;
barulah tahu kaca permata.
pekerti diri jadi nilaian.

Pergi kenduri jadi tarikan,
pakai purdah berkain kasa;
pekerti diri jadi nilaian,
leburlah sudah segala jasa.

BURUNG JELATIK

Burung jelatik terbang ke ladang,
bersarung batik senang dipandang.

Burung jelatik terbang ke ladang,
sudahlah cantik pandai berdendang.

Burung jelatik terbang ke ladang,
hati berdetik ada yang pandang.

Burung jelatik terbang ke ladang,
sahabat baik jarang meradang.

Burung jelatik terbang ke ladang,
hendak kupetik hak milik orang.

Burung jelatik terbang ke ladang,
maafkan patik terlepas pandang.

Burung jelatik terbang ke ladang,
senyuman itik tak jemu pandang.

Burung jelatik terbang sepasang,
kurasa getik amalan songsang.

Burung jelatik terbang ke sarang,
kasih berputik pendam seorang .

Burung jelatik terbang ke sarang,
kasih berputik terasa girang.

Burung jelatik terlanggar palang,
rindu berdetik kuingin pulang.

Burung jelatik terbang sekawan,
walaupun cantik hatinya rawan.

Burung jelatik paruhnya merah,
kurasa getik dia pemarah.

Burung jelatik tidak berkumis
berbaju batik setiap khamis

Burung jelatik terlanggar ranting,
walaupun cantik kuat melenting.

Burung jelatik jatuh tergelek,
sudahlah cantik kecil dan molek.

#Pantunduakeratyahti

Tuesday, August 29, 2017

BANGGA MERDEKA

Awal bismillah salam berserta
wahai saudari juga saudara
syair merdeka negara kita
moga menebal rasanya cinta

'Negaraku sehati sejiwa'
inilah tema yang berwibawa
semat di hati tiada lewa
sayang negara ke hujung nyawa

Bersatu padu berbilang bangsa
susah dan senang sama dirasa
biar sempurna bertambah sasa
guna tenaga masih bersisa

Enam puluh tahun sungguhlah laju
ada matlamat misti dituju
banyak rintangan dan juga ranju
bukan penghalang teruslah maju

Sejarah silam menjadi bukti
bertumpah darah di bumi jati
asalkan dapat berbuat bakti
begitu luhur bersihnya hati

Sampai di sini syair merdeka
hanya sekadar melenyap leka
ayuhlah kita sentiasa peka
berkerjasama setiap ketika

YAHTI HAYATI
Simpang Pulai
15.8.2017



GURINDAM SAMBUT MERDEKA

Sambut merdeka setiap tahun
nescaya semangat bingkas bangun

Sambut merdeka kenang sejarah
nescaya rakyat kan rasa gairah

Sambut merdeka berganding bahu
nescaya sama mengambil tahu

Sambut merdeka rakyat menderu
nescaya yakin tanpa keliru

Sambut merdeka sambutan mega
nescaya rakyat merasa bangga

Sambut merdeka tema dicipta
nescaya bertambah rasa cinta

Sambut merdeka banyak acara
nescaya rakyat turut gembira

Sambut merdeka bersatu teguh
nescaya muhibah kekal kukuh

Sambut merdeka kibar bendera
nescaya segar cinta negara


#DBP61TAHUN

YAHTI HAYATI
Simpang Pulai
15.8.2017



RENYAI JIWAKU

Renyai jiwaku
kala Ilahi memanggil kaupergi
kerana engkau tak mungkin lagi ada di sisiku.

Renyai jiwaku
menjalani detik dan liku hidup ini
kerana engkau tidak lagi memegang tanganku.

Renyai jiwaku
mengingati kisah lalu
kerana perjuanganmu tidak jadi sejarah.

Renyai jiwaku
membuat keputusan ini
kerana kita tidak mungkin bersua lagi.

Renyai jiwaku hingga kini
kerana engkau selalu hadir di dalam mimpiku.

YAHTI HAYATI
Simpang Pulai
21.8.2017