Assalamualaikum

Dulu kini dan selamanya

Friday, January 25, 2013


RUMAH ITU

Rumah itu milik kita
terhasil  dari titik keringat
 dan susah payah.

Rumah itu milik kita 
menghuni syurga dunia
menepati segala rasa.

Namun kini
rumah yang tersergam indah itu
terbiar kaku kehilangan seri
bila engkau pergi 
aku akur dengan suratan sendiri.

Tetapi sesekali 
aku datang  bertandang 
menjejaki benih kasih yang tiada.
dan mengulangi kasih kita
di dalam sendu dan terharu.

YAHTI HAYATI
Ipoh
16 Jan 2013

Wednesday, January 2, 2013



KELONGSONG 

Kelongsong anyaman itu
membalut tubuhku
tidak selayaknya
anyaman sehalus itu buatku.

Sekian lama diri terbiar
di kiri kananku ada dia dan mereka
menanti tanpa kerdipan mata
kini dia dan mereka menunggu gugur.

Kelongsong anyaman itu
melindungi  ranumku.


Yahti Hayati
Chemor
24.10.2012































HARI INI

Pagi 28 Disember ini
hembusan angin lewat kamarku 
terasa dingin mengusapi pipi
persis belaian jemarimu 
yang mengindahkan hari lahirku

Pagi 28 Disember
ucapan pertama nan syahdu
yang kuterima darimu 
terpesona aku dalam sendu
lantaran bisikan mesramu 
sarat berisi kasih sayang.

Pagi 28 Disember 
dari alam maya
ucapan dan doa kalian
memberi ilham untukku 
aku pun bersemangat 
meneruskan hayat
penuh pesona
 dan wangian berkat..

Pagi 28 Disember
aku masih bernafas
penuh syukur
bila mampu meneruskan hidup
aku pun mengharapkan
iman dan takwa memberi redup
dan menghirup pada wangian syurga.

Yahti Hayati
Simpang Pulai
28.12.2012

Tuesday, January 1, 2013


HIDUP INI

Hidup ini jadi bahagia
 andai rencahnya kita adunkan
sedikit duka
secubit suka
segantang pengorbanan.

Hidup ini akan bahagia 
andai pasangan menepati hati
teman berkasih sayang
berbicara
bergurau senda
berhibur bermanja
merawat hiba
dan teman beribadah.

Hidup ini pasti bahagia andai
ada wang yang melimpah ruah
melengkapkan keperluan.


Yahti Hayati
Simpang Pulai
31.12.2012