Assalamualaikum

Dulu kini dan selamanya

Thursday, December 19, 2013

CIPTAAN PENCIPTA

Sudah lama tidak ke ladang
Kaki tersadung jatuh tersembam
Sudah lama beralih pandang
Kicauan burung memberi salam

Kaki tersadung jatuh tersembam
Tepi perigi jalan ke ladang
Kicauan burung memberi salam
Selamat pagi selamat datang

Tepi perigi jalan ke ladang
Meniti siput cengkerang serupa
Selamat pagi selamat datang
Sahut bersahut saling menyapa

Meniti siput cengkerang serupa
Separuh jalan beriring bersama
Sahut bersahut saling menyapa
Nyaringnya siulan beranika irama

Separuh jalan Beriring bersama
Kencang meniti tambah pesona
Nyaringnya siulan beranika irama
Terpaut hati berguru dimana

Kencang meniti tambah pesona
Keriangan kini di hati bertahta
Terpaut hati berguru dimana
Betapa seni ciptaan Pencipta

Yahti Hayati
Simpang Pulai
19.12.2013

Saturday, December 14, 2013

MIMPI SEMALAM

Andai mimpi semalam jadi nyata
kaca menjadi permata
bulan di ribaanku
malam tiada kelam
debaran burung di sangkar terhenti
lembu dan singa jalan seiring
ikan-ikan bersantai di pantai.

Mimpi itu ilusi
tidak ingin berkhayal lagi
jambatan sudah kubakar.


Yahti Hayati
Simpang Pulai
14.12.2013






HUJAN

Lebat hujan
membasuh bumi
sisa-sisa noda
tebal berdaki.

Jatuh air hujan
bumi menadah menanti
hanyutkan kotoran
bersihkan kembali.

Turun hujan
turunlah lagi
menguji mereka
adakah kebaikan lagi.

Yahti Hayati
Chemor.
10.12.2013

Friday, December 6, 2013

Sudah seminggu abah pergi meninggalkan kita.Tiada lagi laporan mengenai abah.Situasi begini lebih dulu dirasakan oleh .........

Malam terakhir suapkan abah sungguh indah rasanya .Masa itu Noi dan anak-anak membantu yong dan nyah mengisi gula-gula untuk majlis perkahwinan .Malam itu nak bagi abah rasa apa gulai kita hari itu nampak ada gulai pucuk ubi dalam periuk sempat masukkan sesudu gulai pucuk ubi tumbuk ikan robus dan blend.Abah...dalam nada suara yang antara dengar dan tidak memberi ingatan abah kata "sodop tapi podeh bagi pelan-pelan ye." Beberapa kali abah tersedak rasa  risau menyelinap seketika.Namun teruskan juga semangkuk kanji secawan air.Cara aruah abah menerima suapan seolah-olah hanya mahu menghargai anaknya yang menyuapkan nasi ke mulutnya jika aruah abah turutkan hati rasanya aruah abah enggan makan.

Hari itu hari Ahad.Noi balik ke Kuantan. Sebelum Noi balik Noi ada beri ingatan tapi maklumlah nak kenduri ada sahaja yang difikirkan dan nak dibuat.Selepas Pak itam balik omak diamuk kerisauan kerana perubahan aruah abah yang tidak bercakap hanya yang dengar nafas serak dari dada aruah abah.

Di luar cuaca buruk angin membadai.Deringan telefon dari talian tetap ...seakan menghempas perasaan.Sayup-sayup terdengar suara omak yang sayu kerana kerisauan.Berjanji dengan omak lepas maghrib kami datang.Apa plan malam itu dibuat di rumah omak.( masak mee goreng ).

Sampai di rumah omak terus menerpa ke katil abah.Benarlah seperti keluhan omak melalui telefon tadi abah nampak tersangat lemah nafas serak dari paru-paru kian laju dan kuat. Langkah pertama ialah memeriksa kandungan gula dalam darah .Gula naik mendadak 17.5 masing-masing cemas mencari ubat kencing manis untuk dijadikan penawar. Macam biasa kami selalu bergantung pada pak itam call line yang biasa orang lain yang jawab. Mujur ada line yang lain syukurlah pak Itam yang sentiasa bersedia datang dengan tenang terus bagi ubat.

Teringat makan malam abah belum di sediakan .Malam itu ada soup daging dalam hati sungguh ghairah menyediakan kanji abah bersama soup daging pasti aruah abah akan naikkan ibu jari menyatakan sedapnya. Naikkan katil abah lapik dada abah kejutkan abah ...

Abah menyahut longlai...suapan pertama gagal.Begitulah pada suapan seterusnya abah tidak lagi menerima makanan.Berputus asa dengan perubahan abah ambik tuala basah bersihkan muka abah dagu abah selalunya abah akan ucap " terima kasih la " tapi malam akhir itu abah hanya menyepikan diri.Malam itu mata sungguh mengantuk sementara menunggu Pak itam datang tertidur di bangku panjang. Pada mulanya mahu bermalam di rumah omak tetapi bertukar mengikut yong dan nyah balik.Pak itam seolah kecewa tapi keputusan diteruskan.

Pukul 3.30 pagi ada panggilan dari pak itam terus bingkas bangun mengejutkan yong macam budak kecik dengan esak tangis merayu yong bangun "kita ke rumah opah nenek tenat"

Sampai di rumah suasana sayu dan sepi yang kedengaran hanyalah isak tangis Omak , Pak itam dan Mahat . Aruah abah telah fokus mengadap Pencipta.Melihat situasi ini ambik wuduk terus membaca Yasin bersama Pak itam.Kalimah Allah kami bisik ke telinga aruah abah.Selesai dua kali tamatkan bacaan Yasin nampak abah semakin lemah nafas sudah beransur perlahan. Sempat capai air dari botol bacakan Fatihah memohon pada Allah lapangkan pemergian abah.Kami omak Pak Itam Mahat kendiri Chu yong dan Azmi mengelilingi katil abah.Inilah saat dan ketikanya untuk kami menjadi saksi.Kami serentak menyebut Allahuakbar !! Abah pergi dengan tenang...

Sekian lama abah menderita sekian lama kita diuji abah pergi buat selama-lamanya.

KEMBALI
(Sempena kepergian ayahanda tercinta 25.11.2013)

Desah nafas
perlahan
genggam tangan
longgar
peringatan buatku
di ambang perpisahan
bersedia pada satu nokhtah .

Fajar kazib menjelang
bumi kemilau cahaya
aku bergelut cemas
fajar kazib hilang
cahaya kembali gelap
masa terpilih
engkau kembali, abah
ke alam abadi
di sisi Tuhan
menetap azali.

Yahti Hayati
CHEMOR
26.11.2013





Wednesday, December 4, 2013

KEMBALI
(Sempena kepergian ayahanda tercinta 25.11.2013)

Desah nafas
perlahan
genggam tangan
longgar
peringatan buatku
di ambang perpisahan
bersedia pada satu nokhtah .

Fajar kazib menjelang
bumi kemilau cahaya
aku bergelut cemas
fajar kazib hilang
cahaya kembali gelap
masa terpilih
engkau kembali, abah
ke alam abadi
di sisi Tuhan
menetap azali.

Yahti Hayati
CHEMOR
26.11.2013

Monday, October 14, 2013


SAHABAT

Terpesona aku 
menerima kabar
bulan jatuh keribamu.

Berulang kali
melafaz syukur
cinta itu bukan cinta biasa.

Sahabat...
berhentilah menangis
itu kehendakNya
berisi rahsia.

Yahti Hayati
15.X.1013
Chemor .








Wednesday, September 11, 2013



KISAH SINGA

Singa itu betina
singgah di sarang
buat seketika 
sebelum pulang.

Sarang itu berpuaka
padat kisah dan cerita
singa betina jadi pendengar 
seolah-olah ia buta dan tuli.

Singa itu ingin  pulang 
terseliuh kakinya seksa bergerak
sarang puaka tempat tumpangan
bersama kecewa dan hampa
selagi nyawanya ada.

Yahti Hayati
Simpang Pulai
9.9.2013









Sunday, May 19, 2013


KISAH GEMILANG 

Sayu membalut diri
air mata tumpah lagi
kisah gemilang masa lalu
mengerling sinis.

Kisah gemilang itu 
telah menjadi lagu-lagu puisi
menjadi siulan anak-anak saban hari.

 Kisah gemilang itu
telah diabadikan
menjadi pelita buat anak-anak
menyinari kehidupan .

Yahti Hayati
Simpang Pulai
13.5.2013

Friday, April 26, 2013

KEPERGIANNYA 

Alam mengiringi kepergiannya 
tiada mendung namun redup
tiada angin namun dingin 
burung-burung nan pulang petang
menangguhkan kepulangan mereka
singgah di merata dahan 
penghormatan buat seorang insan
bersemangat menyumbang khidmat
hingga ke hari terakhir hayatnya.

Renyai jiwaku mengingatinya 
aku kini ikhlas merelakan kepergiannya.

Yahti Hayati
26.4.2013

Friday, March 29, 2013



SELEPAS ENGKAU PERGI

Selepas kaupergi
api menjadi cahaya
nan kuperolehi dari bara di hujung puntung
dua tahunku merayau ke sana- sini
tiada bezanya hidup bercahaya.

Selepas kaupergi
rumah menjadi pondok
sepi terbiar tanpa rela
tiada bezanya gerobok buruk 
atau pondok usang

Selepas kaupergi
aku tidak lagi berjalan lurus
tumitku sentiasa menginjak
menepis onak dan duri dari terpijak
tiada bezanya berjalan lurus atau menginjak.

Selepas kaupergi
aku rindu pada gurau sendamu
saban malam menanti kehadiranmu
dalam mimpi atau khayalanku
tiada bezanya selepas kaupergi 
kerana dirimu sentiasa di ingatanku.

Yahti Hayati
Simpang Pulai
29.3.2013

Tuesday, February 26, 2013


Genap sepurnama tanpa berita
Sejak merantau ke tanah Jawa
Berkongsi suka meratah derita
Tanda kasih ke hujung nyawa

Siang mengantuk malam berjaga
Tambah enak disorongkan bantal
Suap menyuap satu keluarga
Sama sejiwa semangat kental

Sukanya hati tidak terkata
Dapat semilang sama sebaya
Merangkai mesra impian kita
Manguntai kasih indah bercahaya

Meraut lidi di atas dahan
Dahan reput daun nya layu
Senyum nya simpul bicara perlahan
Menokok  ayu gadis melayu

Yahti Hayati
26.2.2013

Thursday, February 21, 2013




RUMAH KITA

Manis kata menyapa 
adap kita meraikan tamu
naik ke teratak kerusinya tiga
sekeping tikar usang dihampar
kita duduk di hamparan usang
tamu enak di kerusi empuk .

Tamu enggan pulang
berhari ,berminggu, berbulan, bertahun
adap kita meraikan tamu
teratak usang kian goyah
seisi keluarga bercakaran
bertolakan berlengan sesama sekeluarga

Aduhai
tamu mengunci pintu rumah kita
membiar kita berpanas, berhujan di halaman
adap kita meraikan tamu
mewarisi pusaka melayu.

Itu rumah kita
sedarlah itu rumah kita...

Yahti Hayati
Simpang Pulai
22.2.2013




Friday, February 15, 2013



SAKIT

Denyut
telingaku berdenyut berulang kali
tersadai menanti bantuan
mohon ada penawarnya.

Panas
badanku memijar
adakah sarafku lemah atau
adakah batu di kepalaku sayang...

Pedih
ulu hatiku pedih
seperti dihiris sembilu berbisa.

Bagaimana dia yang menanggung kesakitan 
sehingga putus nyawanya .

Yahti Hayati
16.2.2013
Simpang Pulai.

Monday, February 11, 2013







BERITA...

Berita kematian disampaikan padaku
enam bulan lalu pamanku
sebulan lalu kenalanku
minggu lalu sepupuku
tiga hari lalu tetanggaku.

Perlahan - lahan berlalu
satu demi satu
aku sebenarnya menunggu 
satu tuju di situ.

Sementara ada nafasku
biar kuisi setiap sudut bekalanku
namun ada jua penghalangku
memungkinkan kecewanya aku
malas sering mengekangku.

Wahai diri
sedarlah mati itu pasti
entah esuk sahabatku menerima berita 
mengenai diri ku.

Yahti Hayati
Simpang Pulai
10.2.2013

Monday, February 4, 2013


CINTA
(Buat mereka yang sedang bercinta)

Taman itu indah
bunga-bunga segar
teratur tersusun rapi
dedaun menghijau
cantik berseri .

Cinta jua begitu 
saban hari dibajai dibelai 
agar susunan rapi
demi kesegaran
tanpa layu.....

Yahti hayati
Chemor 
5.2.2013

Pantun




Hati terkenang mata terpandang
Tangan kiri menongkat dagu
Desir angin datang bertandang
Mengapa buluh enggan berlagu

Hati terkenang mulut tersebut
Sayang orangnya telah tiada
Patah galah tempat berpaut
Bertongkat paruh berlapang dada

Wanita gagah wanita hari ini
Manis nya senyum nampak gigi
Jauh dan dekat tetamu disini
Demi membina satu strategi 

Buluh perindu gunung Ledang 
Tempat berteduh nak dara rindu
Hati riang bukan kepalang 
Sembang santai tempat mengadu

Usah selalu menanggung pilu
Nanti diri yang akan merana
Jangan selalu menanggung budi
Bimbang nanti jadi bencana

Gemersik suara buluh perindu
Kerap lah kali jadi siulan 
Wanita bistari jarang mengadu
Tidak mengenal rasa terkilan

Kasih sejati jelas terbayang
anak - anak menerima tuah
Ibu bapa rajin anak yang kenyang
Dapat rezeki melimpah ruah

Kembang setaman bunga melati
Rumpunnya rimbun akar merata
Terungkai yang kusut impian hati
Malang tersimpul di hujung kata.

Friday, February 1, 2013


MIMPI.....,

Mengganti
mengambil alih
membaharui
tiada jalan pintas untuk bahagia.

Aku penggantinya 
kau menggantikannya 
masing-masing mengisi kekosongan
aku memilih mengambil alih tempatnya
kau mengambil alih tempat dia
masing-masing mahu sempurnakan hidup
aku membaharui kasihmu terpadam
kau membaharui kasihku yang terkikis
masing-masing menyemai benih kasih.

Inilah kisahku kini 
penuh manja aku bercerita 
pada suatu pertemuan dengan dia
yang entah di alam mana
namun ia berpaling padaku
menyuruh aku pulang 
dengan bicaranya
'kau telah berpunya' .

Yahti Hayati
Ipoh
1.Feb 2013

Friday, January 25, 2013


RUMAH ITU

Rumah itu milik kita
terhasil  dari titik keringat
 dan susah payah.

Rumah itu milik kita 
menghuni syurga dunia
menepati segala rasa.

Namun kini
rumah yang tersergam indah itu
terbiar kaku kehilangan seri
bila engkau pergi 
aku akur dengan suratan sendiri.

Tetapi sesekali 
aku datang  bertandang 
menjejaki benih kasih yang tiada.
dan mengulangi kasih kita
di dalam sendu dan terharu.

YAHTI HAYATI
Ipoh
16 Jan 2013