Assalamualaikum

Dulu kini dan selamanya

Tuesday, December 13, 2016

SEJUTA SIMPATI

Berjuta hati pedih terhiris
anak-anak kecil menangis
ibu disiksa.

Berjuta umat geleng kepala
mengurut dada
tentera, polis , pelampau ugama
mendera membunuh.

Simpati dan bantuan
bantahan dan kecaman.
Rohingya masih tersiksa.

Aduhai..

sudah robohkan empayar kemanusian
kapan penyiksaan berhenti
pembelaan masihkah berbaki?

yahti hayati
11.12.2016
Ipoh
ANAK MERDEKA

Anak Merdeka nama halaman
halaman bukan bunga bertaman
di sana ada kawan dan teman
bila bersembang aduhai nyaman

Setiap pagi selepas subuh
kata laluan tak perlu bubuh
ikonnya hijau menarik sungguh
petik sekali nampaklah jaguh

Anak Merdeka pandai jenaka
kata kiasan habis teroka
sedap dibaca tidak mencuka
hati yang walang menjadi suka

Ada sahabat beri panduan
masakan gebu ikut aturan
tugasan kita siap makanan
dapat pahala tokok amalan

Pentadbir laman tinggal di kota
Fauziah Adam pantangnya dusta
penuh berhemah bimbing peserta
maklum sajalah dah tua renta

Tadabur pagi selalu ada
usaha menambah ilmu di dada
puan Zaleha dah jadi nenda
rajin menempek ilmu berbeda

Panggilan diri hanyalah Yun
berbaju merah tengok terpegun
komen nan ringkas beradab santun
pandai menggubah penuh beradun

Teringat dulu zaman sekolah
pandai mengaji mula Bismillah
hayati osman cerah menyerlah
suara sedap semua kalah

Cikgu Noridah tinggilah lampai
sungguhlah pandai memeram tapai
hobi menghiris si bunga rampai
bila berjalan nak cepat sampai

Kamariah Isa orangnya tegas
sanggup berkorban asalkan jelas
tugasan besar sanggup digalas
kesana sini sangatlah langkas

Ketua kelas tingkatan lima
Kak Rosnah Buyung lembutnya nama
masih terdengar laungan bersama
walaupun sudah di tinggal lama

Sampai di sini seloka kita
hanya bergurau bukan mengata
undurlah diri maaf berserta
sempurna hajat tercapai cita

Monday, October 3, 2016

MALING MANJA

Maling nan manja
tiada giliran malam
bebas mengaut hasil dusun
cempedak berkelonsong
rambutan julai ke tanah
dokong separas bahu
nangka berbalut rapi
raja buah sangkut di kepala
ranum serentak.

Maling nan manja
dusun serelung itu
kukuh dawai berduri
semalu malu tumbuh
kemuncup tak lekat di kain
dedaun hijau kemilau.

Malim nan manja
mengaut laba
dari titisan keringat pemilik
hatimu tak kenal belas
tamak beraja di hati.

Malim nan manja
manjamu tidak kekal
kayamu kelak lenyap.

Pemilik yang kemalingan
simpan dendam itu
Allah maha adil.

yahti hayati
III.X.MMXVI
Simpang Pulai

Wednesday, April 6, 2016

AIDILFITRI
(buat Hidaya,Baiti dan Ilham)

Bungkam aku kelu bahasa
di sepi subuh Aidilfitri
kalian tiada di sisi
ikuti haluan hidup berubah
menjunjung  keadilan diri
bersama pasangan tersayang
sedih sayat menghiris
jerih perih biarkan sembunyi.

Aidilfitri
hari kejayaanku
hari kemenanganku
di sebalik lindungan pilu.

Aidilfitri
datang dan pergi
tahun berganti
giliran bersama kunantikan.



Yahti hayati
Chemor.
4.4.2016
PESANAN AYAH BONDA

Marah merah menyala
memijar di unggun nafsu
dua hati kian menjauh
mangsa seringai gerenyot
di lubuk hati cemas menghayun.

Aduhai
pakukan kembali titian herot
bentangkan kembali permaidani usang
agar laluan kekal berzaman.

Yahti hayati
Chemor
6.4.2016
SELIMUT

Selimut di gerobok usang
lipatan tajam menghiris
el-nino datang bertandang
kapan akan pulang.

Selimut di gerobok usang
wangian titis setiitik
el-nino sudah pulang
dingin dinihari
selimut seluruh tubuh.

kau selimutku
aku selimutmu.


yahti hayati
Chemor
21.3.2016

Friday, November 13, 2015

PERTEMUAN

Jangan engkau lupakan aku
kudakap badanmu yang dedar
tanganmu kulepaskan.

Empat puluh tahun berlalu
jejak demi jejak
alam maya menautkan kita
benar engkau tidak lupakan aku
kita saling menyapa
tulisanmu gaya bahasamu
nyata bagai dulu.

Ingin sekali bersua
menatap wajah manjamu
suatu hari aku akan datang.

27 Muharam aku datang
wajah manjamu berselimut
selendang putih
engkau tidak lagi tersenyum.

Yahti Hayati
13 November 2015
Simpang Pulai.