Assalamualaikum

Dulu kini dan selamanya

Wednesday, September 11, 2013



KISAH SINGA

Singa itu betina
singgah di sarang
buat seketika 
sebelum pulang.

Sarang itu berpuaka
padat kisah dan cerita
singa betina jadi pendengar 
seolah-olah ia buta dan tuli.

Singa itu ingin  pulang 
terseliuh kakinya seksa bergerak
sarang puaka tempat tumpangan
bersama kecewa dan hampa
selagi nyawanya ada.

Yahti Hayati
Simpang Pulai
9.9.2013









Sunday, May 19, 2013


KISAH GEMILANG 

Sayu membalut diri
air mata tumpah lagi
kisah gemilang masa lalu
mengerling sinis.

Kisah gemilang itu 
telah menjadi lagu-lagu puisi
menjadi siulan anak-anak saban hari.

 Kisah gemilang itu
telah diabadikan
menjadi pelita buat anak-anak
menyinari kehidupan .

Yahti Hayati
Simpang Pulai
13.5.2013

Friday, April 26, 2013

KEPERGIANNYA 

Alam mengiringi kepergiannya 
tiada mendung namun redup
tiada angin namun dingin 
burung-burung nan pulang petang
menangguhkan kepulangan mereka
singgah di merata dahan 
penghormatan buat seorang insan
bersemangat menyumbang khidmat
hingga ke hari terakhir hayatnya.

Renyai jiwaku mengingatinya 
aku kini ikhlas merelakan kepergiannya.

Yahti Hayati
26.4.2013

Friday, March 29, 2013



SELEPAS ENGKAU PERGI

Selepas kaupergi
api menjadi cahaya
nan kuperolehi dari bara di hujung puntung
dua tahunku merayau ke sana- sini
tiada bezanya hidup bercahaya.

Selepas kaupergi
rumah menjadi pondok
sepi terbiar tanpa rela
tiada bezanya gerobok buruk 
atau pondok usang

Selepas kaupergi
aku tidak lagi berjalan lurus
tumitku sentiasa menginjak
menepis onak dan duri dari terpijak
tiada bezanya berjalan lurus atau menginjak.

Selepas kaupergi
aku rindu pada gurau sendamu
saban malam menanti kehadiranmu
dalam mimpi atau khayalanku
tiada bezanya selepas kaupergi 
kerana dirimu sentiasa di ingatanku.

Yahti Hayati
Simpang Pulai
29.3.2013

Tuesday, February 26, 2013


Genap sepurnama tanpa berita
Sejak merantau ke tanah Jawa
Berkongsi suka meratah derita
Tanda kasih ke hujung nyawa

Siang mengantuk malam berjaga
Tambah enak disorongkan bantal
Suap menyuap satu keluarga
Sama sejiwa semangat kental

Sukanya hati tidak terkata
Dapat semilang sama sebaya
Merangkai mesra impian kita
Manguntai kasih indah bercahaya

Meraut lidi di atas dahan
Dahan reput daun nya layu
Senyum nya simpul bicara perlahan
Menokok  ayu gadis melayu

Yahti Hayati
26.2.2013

Thursday, February 21, 2013




RUMAH KITA

Manis kata menyapa 
adap kita meraikan tamu
naik ke teratak kerusinya tiga
sekeping tikar usang dihampar
kita duduk di hamparan usang
tamu enak di kerusi empuk .

Tamu enggan pulang
berhari ,berminggu, berbulan, bertahun
adap kita meraikan tamu
teratak usang kian goyah
seisi keluarga bercakaran
bertolakan berlengan sesama sekeluarga

Aduhai
tamu mengunci pintu rumah kita
membiar kita berpanas, berhujan di halaman
adap kita meraikan tamu
mewarisi pusaka melayu.

Itu rumah kita
sedarlah itu rumah kita...

Yahti Hayati
Simpang Pulai
22.2.2013




Friday, February 15, 2013



SAKIT

Denyut
telingaku berdenyut berulang kali
tersadai menanti bantuan
mohon ada penawarnya.

Panas
badanku memijar
adakah sarafku lemah atau
adakah batu di kepalaku sayang...

Pedih
ulu hatiku pedih
seperti dihiris sembilu berbisa.

Bagaimana dia yang menanggung kesakitan 
sehingga putus nyawanya .

Yahti Hayati
16.2.2013
Simpang Pulai.