Assalamualaikum
Dulu kini dan selamanya
About Me
Thursday, May 4, 2017
KOLEKSI PANTUN
Asingkan padi suku tertumpah,
bibi dimarah jelir melawan;
hujan tak jadi diriku basah,
pergi mencurah air tempayan.
Pinjamkan kendi sangkunya merah,
lima bertatah bertambah padan;
hujan tak jadi dirinya basah,
Tok ma melatah tersimbah badan.
Hambat serati melangkau pagar,
angguk merata dari semalam;
tertambat hati hijau nan segar,
penyejuk mata penyeri alam.
Helah pemburu simbat diganti,
hanya merintang sebelah denai;
pastilah biru menambat hati,
warnanya tenang nampaklah damai.
Hambat serati melangkau pagar,
masuk merata mencari kolam;
tertambat hati hijau nan segar,
penyejuk mata penyeri alam.
Belut disalai cantaslah buluh,
lidi dikerat cucuk bertiga;
rambut sehelai dibelah tujuh,
menjadi sirat untuk ke syurga.
Borong ketutu belilah lala,
sekati kerang serta haruan;
berbohong itu amatlah cela,
kaki temberang kata gelaran.
Pelbagai umbut berserta kailan,
terong kematu samalah timbang;
bagai disebut kata bidalan,
berbohong itu lidah bercabang.
Ikan siakap ikan tenggiri,
buatlah gulai sayur peria;
abaikan sikap pentingkan diri,
itulah nilai jujur mulia,
Pekaka mara dengan tempua,
kumbang mengikut sipi melintang;
rangka segera pelan kedua,
bimbang melukut di tepi gantang.
Nampaklah ngeri pahat dibaling,
syarat saringan sebelah hulu;
sedarlah diri lihat keliling,
buat pusingan jikalah perlu.
Tajamnya golok dari gergaji,
simpan di sini yakin teratur;
andainya esok mungkiri janji,
harapan ini tak mungkin lebur.
Pergi berkuda tercalar duri,
hasrat nan murni berteman bayu;
selagi ada sinar mentari,
harapan ini tidakkan layu.
Riuhlah pegar jalan ke huma,
kiri dan kanan sepakat hadir;
adalah wajar bidalan lama,
beri ingatan hakikat takdir.
Pergi berkuda tercalar duri,
hasrat nan murni hendak merayu;
selagi ada sinar mentari,
harapan ini tak akan layu.
Menanti feri rasalah gundah,
menyambut pulang paman dan kawan;
hati sendiri usah diendah,
rebut peluang raikan rakan.
Ikan gelama kelah sejajar,
sama dibelah berilah jiran;
bidalan lama adalah wajar,
cuma janganlah salah tafsiran.
Sabut dikirai hinggalah lejuh,
serbuknya sarat timbang bertiga;
rambut sehelai dibelah tujuh,
saiznya sirat imbang ke syurga.
Duri seruntun merempang tanda,
cungkil seruang beralas daun;
mari berpantun berlapang dada,
ambil peluang berbalas pantun
Atur pelita sebaris jelas,
menuju dusun rakan kenalan:
tutur dan kata halus beralas,
cantik bersusun kata bidalan.
Pekaka mara dengan tempua,
kumbang mengikut sipi melintang;
rangka segera pelan kedua,
bimbang melukut di tepi gantang.
Bajulah rintik kainlah merah,
renda sebelah dipandang ranggi,
biarlah titik janganlah tumpah,
mereda resah orang yang rugi.
Sungguhlah santun si gadis kampung,
jalannya lurus elok bersanggul;
"Berbalas Pantun " beri pelampung,
tidaklah terus tenggelam timbul.
Hujan gerimis rintik di kuala,
sahingga lesu hendak memburu;
bersebab titis setitik nila,
sebelanga susu bertukar biru.
Lokan diganti dengan siakap,
jatuh berderai sayup meredam;
lembutkan hati ubahlah sikap,
nescaya lerai segala dendam.
Masaklah kubis selepas kailan,
sesenduk kerang jadi perasa;
setelah habis tugas harian,
duduk mengarang meniti masa.
Sudah ditadah kalih sebelah,
bekasnya lebar kukuh sekata;
usah diendah sedih berpisah,
hanya sekadar jauh di mata.
Angkatlah kayu alih ke kubu,
tersekat kera hingga gelupur;
sudahlah ayu putih menggebu,
teramat mesra kata diatur.
Rintik di atap hujan mendabak,
carilah payung usah khuatir;
asyik menatap setianya ombak,
datang menggulung pecah di pasir.
Sepohon jati tinggi menjulang,
nampaklah dari di hujung kampung;
meronta hati rindu nak pulang,
setiap hari detik dihitung.
Periuk belanga barangan antik
Susun bersilang di atas kayu
Harapkan bunga menjadi putik
Kemarau panjang semuanya layu
Pelita talam kepalanya cayor
Rasanya sedap sudahlah tentu;
Seluruh alam digenangi ayor
Posmen tetap tiba di muka pintu.
Lenggang si Minah ramai tertarik,
sudah dicanang tanpalah ihsan;
pegang amanah posmen pun baik,
air bergenang bukan alasan.
Tumbuh semalu ubahkan temu,
penuhlah kaca sebelah kiri;
tidaklah malu tamakkan ilmu,
berbagai punca ilmu diberi.
sungguhlah cantik seloka tuan
penuh sindiran bergurau senda
Ayamlah katik rintik bercantum,
riuh melantun cela suara;
sudahlah cantik asyik tersenyum,
penuh bersantun kala bicara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment