Assalamualaikum

Dulu kini dan selamanya

Friday, December 30, 2016

PERTEMUAN

Kelmarin kita bersua
habis lena kita berpisah
cukuplah
ubat rindu
sukar pulih
kau selalu ada.


yahti hayati
29.12.2016

  1. Simpang Pulai.

Tuesday, December 13, 2016

HAIBUN #3

TAJUK : SEBALDI AIR

Kisah ini berlaku pada tahun 1967 empat puluh lapan tahun yang lalu.Umurku  baru sepuluh tahun hidup di Kampung Tembok Baru Chemor. Kampung ini tiada kemudahan asas. Sumber tenaga lampu minyak tanah.Bekalan air dari air telaga.Masak memasak menggunakan dapur kayu.

Menjelang malam aku menolong bonda mengangkut kayu api ke bawah dapur air tempayan diisi penuh dan sebaldi air untuk berwuduk.Lampu pelita diisi minyak tanah . Jikalau perlu diganti sumbu dengan tali guni.

Selesai solat magrib aku abang dan empat adik-adikku makan malam menggunakan pelita berkaki yang diletak di atas tin susu agar cahaya lebih melebar.

Kucing-kucing peliharaan bonda, turut serta mengelilingi kami makan.Salah seekor kucing ini pergi ke tengah hidangan.Kami membiarkannya kerana kucing itu cacat kami namakan si Buta ibunya si Chandu bulunya belang tiga.

Berselera sungguh kami makan tangan bersimpang siur mencapai lauk pauk.Tiba-tiba adikku yang kedua, tersinggung lampu pelita untuk mencapai ikan goreng yang jauh sikit dari pinggannya lalu jatuh menimpa badan si Buta.Kami lima beradik menjerit sekuat hati bonda yang sedang menyusukan adik bongsu bingkas bangun. Adik bongsuku menangis kerana penyusuannya terganggu.Aku mendukung adikku bonda ke dapur mengambil sebaldi air mengejar si Buta yang lari kepanasan menjunjung api di tengkuknya.

"Allahuakbar!"

Bonda bertakbir sekuat hati dan mencurah si Buta dengan sekali curahan api di badan si Buta padam kerana curahan bonda tepat ke tengkuk si Buta.Allah maha besar telah menyelamatkan kami sekeluarga kerana si Buta telah menuju ke bilik tidur .

Kami semua dalam ketakutan menunggu abah balik dari mesjid sedang si Buta meraung kesakitan.

Tengkuk Si Buta yang melecup kami rawat dengan menaburkan serbuk kunyit di tengkuknya sahingga berparut.

si kucing buta
junjung nyalaan api
simbahan tepat
Haibun #4 - Yahti Hayati
.
GELOMBANG DEBAR

Hari itu hari Jumaat 25 Mac 2016, lenaku terganggu.  Aku terjaga, jam di dinding menunjukkan pukul tiga pagi. Pintu kamarku diketuk.

Anakku memberitahuku. "Nyah, rasa sakit pinggang dari tadi sekarang sudah ada tanda darah".  Aku bingkas menyediakan persiapan ke klinik.  Suaminya pulang dari tempat kerja.  Debarku semakin kencang.

Malam esoknya, pada pukul tiga pagi menantuku menghubungiku, "Mak cepat datang! " suaranya cemas.  Debarku makin kencang.  Kami segera ke klinik bersalin lebih kurang 10 kilometer dari rumah anakku.

Perjalanan kami terganggu.  Di kiri dan kanan berpuluh-puluh motor.  "Ah....lumba haram!".  Suamiku naik angin, aku membisu menenangkan gelombang debarku. Akhirnya kami terlepas dari kemelut lumba haram.

Di Klinik aku lihat anakku di pembaringan, cucuku di bawah jagaan jururawat.  "Alhamdulillah!" keluar airmata gembira.

Aku hairan wajah menantuku masih cemas.  "Mak, tadi Baiti bersalin di bilik air, 'baby' masuk dalam mangkuk tandas".

Mataku bulat, gelombang debar menjadi tsunami. "Masyallah!"
Aku langkahkan kakiku ke bilik cucuku yang sedang dirawat.  Wajah cucuku comel menenangkan debarku. Aku bersujud syukur sepenuh hati aku.

hujung el-nino
bilik klinik bersalin
cucu kedua
SUNGAI SIPUT

Selurus terus dari Bandar Raya Ipoh
perantaraan Bandar Diraja Kuala Kangsar
di situ Sungai Siput Utara.

Infoternak - rusa burung unta
mengintai di pinggir pagar
teramat menarik haiwan ternakannya
di situ tapak Expo pertanian kebangsaan.

Kawasan industri di kiri kanan
taman perumahan pelbagai nama
di situ keselamatan terjamin.

Pekan Sungai Siput berwajah baru
pembangunan mengubah segala
lengkap segala sarana untuk jelata
di situ pemimpin berwibawa.

Gunung besar mercu tanda
pekan kecil pernah digeruni
sebelum ke Bandar Diraja
pekan sunyi kini gemilang
hasil usaha pemimpin terbilang.

yahti hayati
Chemor
1.6.2016
MENIMANG CUCU

Gembira rasa bukan kepalang
sudah menimang cucu ketiga
dalam ingatan asyik terbayang
pabila nanti dipanggil Tok Ma.

Sembilan bulan sabar menanti
setiap hari penuh gelisah
suatu petang hujan berhenti
tangisan cucu menyejat resah.

setinggi gunung Tok Ma mengharap
agar menjadi cucu  yang soleh
di dalam hati selalu berdetap
andainya cucu tidak menoleh.

menimang cucu amanah Allah
sifat mulia biar menyerlah.

20.8.2016
/i/

setitik embun
sejuk di mata tua-
cinta kedua

/ii/

senja nan merah-
debar seorang balu
redam harapan

/iii/

sekuntum mawar-
lambang cinta sejati
taruhan jiwa

yahti hayati
30.8.2016
Kantan bersemi arah belukar
Jika dikerat seri umbutnya;
Izinkan kami singgah sebentar,
Membawa hajat dari anaknya.

Merbah berkejar di sisi kolam,
Rebut laluan jumpa pasangan;
Alangkah segar hati di dalam,
Menyambut tuan serta rombongan.

Puyuh tempua leka di tanjung,
Kasihan nuri terlompat jatuh;
Ayuh semua kita ke anjung,
Sudikan diri merapat simpuh.

Agal mencelah luka anggota,
Kala merayap lentik gelupur;
Awal bismillah pembuka kata,
Segala ucap cantik teratur.

Di petang hari kekwa diurap,
Gaharu herba dari palembang;
Datang kemari membawa harap,
Mahu mencuba menanam mumbang.

Santun kenari di hujung dahan,
Resah berangan di kala lara;
Pantun berperi apung pilihan,
Teruslah tuan mula bicara.

Lentuk beringin belai senada,
Gema serentak bunyi siulan;
Sebentuk cincin sebagai tanda,
Bersama tepak kami hulurkan.

29.8.2016
BUNGA MAWAR

Bungalah mawar bunga berduri
mekar sekuntum cantik menawan
bunga yang lain tentulah iri
punya perisai darilah lawan

Sudahlah cantik berbau harum
harum semerbak lepasi gunung
menusuk hidung laksana jarum
lepas menghidu pasti termenung

Merah menyala bungalah mawar
segar sekali mata memandang
tentulah bisa jadi penawar
andai tetamu datang bertandang

Amat lengkap ciptaan ilahi
segala nikmat sudah penuhi

yahti hayati
16.9.2016
SAYEMBARA PUISI (GURINDAM) TERBUKA #14

GURINDAM IBU

Ibu adalah insan berjasa,
rela berkorban anak selesa.

Ibu adalah guru pertama,
ajari anak ilmu agama.

Ibu adalah insan terpenting,
membela anak ketika genting.

Ibu adalah insan berjimat,
asalkan anak senang selamat.

Ibu adalah insan mulia,
mendoa anak limpah kurnia.

Ibu adalah perisai kebal,
asalkan anak tidaklah bebal.

Ibu adalah insan pemurah,
asalkan anak hidupnya cerah.

Ibu adalah insan pembela,
asalkan anak tidak dicela.

Ibu adalah penyuluh hidup,
sebarang beban semua sanggup.

yahti hayati
8.X.2016
Simpang Pulai
SONETA

GURU MENGAJI

Setiap hari selesai zuhur
tuju teratak pondok mengaji
guru mengaji hatinya luhur
menyumbang masa tepati janji

Waktu mengaji tajwid di ajar
sebutan jelas merdu suara
akalnya murid bukan sejajar
ada yang malas asyik bicara

Minat di pupuk murid di belai
menyampai ilmu penuhlah tekun
mengharap murid tidaklah lalai
setiap hari lengkapi rukun

Guru mengaji yang berwibawa
bakti disanjung ke hujung nyawa

yahti hayati
7.9.2016
Chemor.
PROJEK ADIKARYA

/i/.

bangau bertenggek -
tunggul kayu bercabang
layap sebayang

/ii/.

sekawan bangau
terbang rentas benua -
musim berganti

/iii/.

jejak si bangau -
kocak air di kali
rendah mengendap

/iv/.

bangau di air
rentang sayap melebar -
randuk rezeki

/v/

"Bangau Oh Bangau"
senandung lagu rakyat -
sindiran sinis

SYAIR : AL - KISAH JALUR GEMILANG

Awal bersyair lafaz bismillah
selawat salam tiga berjumlah
tuan dan puan ayuh dengarlah
suara nyaring tampil menyerlah

Sadarulkalam bendera kita
Jalur Gemilang gelar dicipta
sangat menyerlah tentu dan nyata
kibaran megah sudah merata

Jalur melintang merah dan putih
samalah lebar sukat diagih
bila kutatap mataku jernih
makin kupandang terasa kasih

Warna yang merah lintang pertama
kemudian putih ikut bersama
gah empat belas itu utama
membawa erti gelar bernama

Di bucu atas sebelah kiri
sibiru tua menyerlah diri
bulan dan bintang tengah berseri
warnanya kuning erti sendiri

Merah berani itu yang pasti
putih berseri sucinya mesti
biru itulah padu sejati
warna Diraja kuning bererti

Bintang pecahan sah empat belas
jumlah negeri sudahlah jelas
punyai nama siap beralas
sudah tercatat di muka atlas

Seperti sabit di sisi bintang
bulan nan kuning berwarna terang
kiraan hari senang terbentang
negara Islam jadikan lambang

Jalur Gemilang terang cemerlang
pusaka kita rakyat terbilang
luar negara megah dijulang
Tanah Airku gilang gemilang

Berkempen kibar Jalur Gemilang
satu usaha bukan kepalang
demi memupuk rasalah sayang
rela berkorban semangat juang

Jalur Gemilang simbol berdaulat
rentas benua jauh dan dekat
penduduk bangga menjadi rakyat
sebuah negara aman selamat

Sekian dulu akhirnya kalam
syair kukarang sejak semalam
memohon maaf darilah dalam
sesama mahram kita bersalam


yahti hayati
11.10.2016
KEKASIH

/I/

Saling memerlukan
keserasian
dua jiwa
sepasang

/II/

Penenang di hati
menjalin kasih
perhatian
harapan

/III/

Persamaan rasa
di lubuk hati
penjelasan
santuni

/IV/

Pujaan di hati
celaru rasa
bimbang ragu
cabaran
BIBIT PERTEMUAN

Suatu hari terima panggilan
hati berdebar gundah mencelah
dialah kawan seiring jalan
satu asrama zaman sekolah

Satu cerita kawan sampaikan
ada kumpulan di alam maya
anak merdeka satu pasukan
semua kawan sama sebaya

Kucongak modal dalam genggaman
telefon pintar asyik terbayang
tercapai hajat masuk halaman
diri umpama dilayan dayang

Sahabat itu penglipur lara
sayang sekali tanpa suara.


yahti hayati
30.X.2016
Simpang Pulai.
ULAR OH ULAR

Ular memburu ular
lari bawah gelegar
turun bersama gentar
tersesat dalam pagar

Kucing bagi amaran
majikan sangat baran
ular tidaklah heran
malahan tidak jeran

Majikan sudah pulang
kucing segera datang
nampak ular melintang
halau ikut belakang

Ular memburu ular
sesat jalar menjalar
tuan rumah berlapar
habis ular dikelar.

yahti hayati
27.11.2016
SEJUTA SIMPATI

Berjuta hati pedih terhiris
anak-anak kecil menangis
ibu disiksa.

Berjuta umat geleng kepala
mengurut dada
tentera, polis , pelampau ugama
mendera membunuh.

Simpati dan bantuan
bantahan dan kecaman.
Rohingya masih tersiksa.

Aduhai..

sudah robohkan empayar kemanusian
kapan penyiksaan berhenti
pembelaan masihkah berbaki?

yahti hayati
11.12.2016
Ipoh
ANAK MERDEKA

Anak Merdeka nama halaman
halaman bukan bunga bertaman
di sana ada kawan dan teman
bila bersembang aduhai nyaman

Setiap pagi selepas subuh
kata laluan tak perlu bubuh
ikonnya hijau menarik sungguh
petik sekali nampaklah jaguh

Anak Merdeka pandai jenaka
kata kiasan habis teroka
sedap dibaca tidak mencuka
hati yang walang menjadi suka

Ada sahabat beri panduan
masakan gebu ikut aturan
tugasan kita siap makanan
dapat pahala tokok amalan

Pentadbir laman tinggal di kota
Fauziah Adam pantangnya dusta
penuh berhemah bimbing peserta
maklum sajalah dah tua renta

Tadabur pagi selalu ada
usaha menambah ilmu di dada
puan Zaleha dah jadi nenda
rajin menempek ilmu berbeda

Panggilan diri hanyalah Yun
berbaju merah tengok terpegun
komen nan ringkas beradab santun
pandai menggubah penuh beradun

Teringat dulu zaman sekolah
pandai mengaji mula Bismillah
hayati osman cerah menyerlah
suara sedap semua kalah

Cikgu Noridah tinggilah lampai
sungguhlah pandai memeram tapai
hobi menghiris si bunga rampai
bila berjalan nak cepat sampai

Kamariah Isa orangnya tegas
sanggup berkorban asalkan jelas
tugasan besar sanggup digalas
kesana sini sangatlah langkas

Ketua kelas tingkatan lima
Kak Rosnah Buyung lembutnya nama
masih terdengar laungan bersama
walaupun sudah di tinggal lama

Sampai di sini seloka kita
hanya bergurau bukan mengata
undurlah diri maaf berserta
sempurna hajat tercapai cita